Monday, December 28, 2009

mivtza oferet yetzuka

catatan satu - 11:30am, 27 disember 2008
selamat datang
mivtza oferet yetzuka
selamat datang 88
burung besi menabur
benih mati. bersama ikrar
kelangsungan jahat
jajah takluk dan bangsat
bangsa 100 titik
berkecai dalam hitungan
220 detik.

dari hamparan langit tangis
ghazzah diselimut kabut takdir
nafas tak lagi pada udara
mati menggigit dari kulit
tembus ke dasar jantung

catatan dua - 6 januari 2009, sekolah al-fakhura
dari beit lahiya sang serigala
mengatur helah. zikir mati
mereka rupa-rupanya
tidak pernah lelah
memburu batang-batang
tubuh tebal harap. di balik
dinding dan atap genting
cahaya maut berselerak
membenahi waktu
yang seakan terhenti.

angin tiba-tiba mati
dan si ibu meraung nanar
derita tetap setia menyentuh

catatan tiga - 29 disember 2009
kita terlupakan
derita mereka
di celah-celah
megah ghairah menunggu
meriahnya lantunan
suara nyanyi dan
lontaran bunga api
meraikan kedatangan
detik mati.

bangsar

Sunday, December 27, 2009

bertanya kepada anual bakri

petaka apa agaknya
yang dikirim kuasa
dari petala dunia?
hujan jadi api
dan bunga tiba2 mati.
damai tak lagi rancak
bersajak di darul nikmat
dan tengkujuh
mengirim ribut
menerjah dari
segenap arah

akankah
putus tali
doa yang bersambung
bertahun2?

bangsar

Thursday, December 24, 2009

mencari berkah, kau menadah ghairah lagi

dan seperti
mata angin
yang dipanggang
matahari seharian
kau datang
membawa tagih.

di sebalik
selirat uratku
kauhunjam racun
juga tari asyik
berkurun.

bulan di dada
pun retak
mencari arah.

Tuesday, December 22, 2009

rekod

selepas menara kembar
tertinggi di dunia, lemang
terpanjang di alam buana

mari kila lakar
nama bangsa
pada ghaib enjin
jet tentera

Monday, December 7, 2009

achatina fulica, hujan, bangunan usang & landasan lrt

achatina fulica, hujan, bangunan usang & landasan lrt


tembang malam bersenandung
melatari babad hujan di tengah
raya kota. sinar lampu dari tiang
berkarat - di bawahnya mereka berbisik
tentang rumput
tentang mimpi
tentang sakit
dan ghairah

di lintasan
berbelang aspal
kutemui genangan
air mata

pada lumut dinding
dan retak simen
tersorok lara seusia

heret roda besi
di rel el ar ti
menyiat dinding dingin
tengah malam. mereka
berganding tangan
mencari makna hangat
(dan mendakap laknat)


nasi kandar yaseen
jalan tar

Wednesday, December 2, 2009

politburo resah

malam dingin hujan menikam
bumi telanjang. kita terkapar
menanti ampun dalam buru
nafas dibirai mistisisme.

di panti sepi seorang lelaki
patah pilar kejantanannya.
puas diempang sebak pada
dada tapal peribadi tapi
pecah juga ia. terburai
menerjah sabar. tersebar
di serata maya. nanar.

"empanglah resah hati
biar deburnya
tak menjadi,"bisik jiwa.

diam.
beku.

di antara baris-baris kata
dan nafas kita yang bersatu
kuhempaskan lelah dan rindu
dendam dan marah
di pusar dadamu
biar ia kejap
menghimpit nafas
saat kau melintasi
mimpi gelora paling liar.

"nah, kini kau
tahu makna pilu
pada bungkam sunyi
dan dengusan
ammarah adalah
nikmat tak terceritakan."
- bumi menyergah.

bangsar

Thursday, November 26, 2009

rindu tak tertangguh

prolog:
kutersungkur
ditusuk rindu
pada-Mu
pada dendam
ramah dan kasih
tak berbatas. raihlah
aku meski pada
sisa pandang-Mu nanti

i
aku datang
pada-Mu kasih
datang aku pada
tawar-Mu meski
membawa bergunung
beban dan secubit laku
di depang padang
terbentang mengapung
diri aku di buih
rahmat membebas
diri dari memiliki
hingga seurat roma
secebis kulit kering
tidak lagi nasibnya
pada hujung jariku

ii
dakaplah aku
kasih aku mahu
didakap-Mu pada terik
nyaman ini pada riuh
azam ini pada belah
rambut yang
gugur atas nama
cinta ini

epilog:
kutersungkur ditusuk
rindu pada kekasih-Mu
pada ramah dan kasih
tak berbatasnya
izinkanlah dia meraih
simpati pada
daifku meski
hanya pada
sisa marahnya

10 dzulhijjah 1430

Tuesday, November 24, 2009

sajak orang gersang

hunjamlah tumit
kudusmu di hulu
hatiku biar terpancut
mata-mata air
segar mengalir
ke padang kontang.
bersama kita
meneguknya mencari
rahmat dan redha
Tuhan.

seksa

malam didakap
gelap dan aku
dipasung rindu

Saturday, November 21, 2009

malam pun retak

setelah segenap dayaku
kauperah, kauhantarku
ke muka pintu
dengan tusukan
tengik longkang

dan pada jemariku
kaugenggam lamaran
dalam nafas sendu

malam pun retak
di bidang dadamu

Saturday, November 14, 2009

harpa daripada surga

demi tuhan
yang menciptakan
gema harpa daripada
surga. tekun kususun
kasih di pendupa
bahagia. semoga kau
aku ditakdirkan
kekalbersatudalamiramacinta

Friday, October 30, 2009

seteduh subuh

senyumlah bulan
sepenuh purnama
menyambut datang
kasih sayang merai
lelah yang panjang
dan resah doa
yang walang.

sinarlah bulan bersinar
memandi pecah tangis
sesegar embun
menyapa cahaya
pagi seteduh
subuh menyetubuh
bumi.

Tuhan
terima kasih
amat-amat

Saturday, October 24, 2009

countdown 3 nov 09 (sebuah sajak peribadi)

aduhai rindu
tanpa menatap
rautmu jiwa
bergelora
menanti detik
bertemu.

datanglah
datang. bila
lagi. masa terasa
amat panjang.

aduhai rindu
walau tanpa
pernah muka
sua rindu
bergelora.

datanglah
datang. aku
menanti

25 okt
094.15am

Wednesday, October 21, 2009

tentang mimpi (igau dan racau) seorang anak dalam lena ayahnya

ayahku, tadi malam aku bermimpi
tentang kelibat gagah satu gergasi
dengan tujuh mata
dan seribu senjata
melangkah mendepani ribut
antarabangsa dan gelora sedunia.
ayah, adapun gergasi itu
bukanlah musuh kita
kerana aku dan kitalah
ibu bapanya;
aku dan kitalah
pensenyawanya. selepas kita
setubuhkan idea, kebijakan
dan wawasan dalam
khalwat kamar mesyuarat,
rumah rehat
serta di balik pintu
bilik taipan konglomerat

bahawasanya, ayah,
gergasi itu amat ajaib
adanya. getar dan garau
bunyi suaranya
dapat kita harapkan
menjadi pembela
agama, bangsa dan negara
tercinta. mudah-mudahan, tanah
ini tidak mampu dijajah lagi
oleh musuh dan pendengki
(dan sementara itu
kita runtuhkan pondok, bangsal
dan jamban buruk untuk
membina jambatan
dan tambak di selatan)

di pundak gergasi itu
ayah kulihat bersemayam
sambil meriba kitab
mendendangkan syair sufi
mendengarkan suara hati
sedang aku melafazkan
kata-kata istikharah dari
alir limbah

ayah, asyik benar
tadi malam aku bermimpi
tentang kelibat gergasi
menjaga ladang, bendang,
bukit dan pandang
mengawal laut, ikan,
kata dan pukat
menapis (khabar) angin,
nafas dan langit
dan aku - ya, aku -mengawalnya
dari atas katil tidurku

* sajak ini akan dapat difahami jika dikaitkan dengan cadangan penggabungan syarikat utusan melayu (m) sdn bhd dengan the new straits times press satu ketika dulu.

Sunday, October 18, 2009

senaskhah tonil usang, seorang jegela melayu

dalam dingin
hawa dewan
perdana mereka
melonjak kata
dan semangat
memacu azam
membunuh rasuah.
si pelahap neraka
datang menayang
arang terconteng
di mukanya
dan berkata:

- akulah sang juara!

Monday, October 12, 2009

belasungkawa

angin awan lumpur tanah lapis bawah
daun ranting burung kafan keranda
tetap berbicara. tapi entah apa
(atau bagaimana)
anak-anak
dan isteri-isteri
meratapi
tetap selamatlah
dalam perjalananmu
bersama iktikad melekat
di hati sampai mati
mudah-mudahan
.

Saturday, October 10, 2009

peluit di tengah padang

segar pagi dibelah
peluit kereta api*
meraikan siang. hari itu adalah hari
seperti hari-hari
terdahulu. dengan sibuk
dengan riangtuah ranah minang.

tenang petang tiba-tiba dibelah
gegar bumi goyang alam
meraikan takdir.hari itu adalah hari
luar biasa. cemas meruap
ke langit resah mengakar
ke perut. maut bergentayangan
di mana-mana.

aduhai
ranah minang meniup
peluitnya sendiri
menghulur salam menyapa
rasa naluri insan.

pagi ini
segar pagi bergenang
dengan air duka
kereta api tidak
lagi berbakti. peluit
pun mati meraikan siang
meraikan malang.


6 Oktober 2009

* di padang, sebuah kereta api berulang-alik di antara pusat bandar padang dengan padang panjang/padang pariman yang terletak agak jauh di antara satu sama lain. uniknya, kereta api ini - mengikut babad seorang pemandu pelancong - hanya beroperasi sekali sehari. pada waktu pagi, kalau tak silap.