Friday, October 30, 2009

seteduh subuh

senyumlah bulan
sepenuh purnama
menyambut datang
kasih sayang merai
lelah yang panjang
dan resah doa
yang walang.

sinarlah bulan bersinar
memandi pecah tangis
sesegar embun
menyapa cahaya
pagi seteduh
subuh menyetubuh
bumi.

Tuhan
terima kasih
amat-amat

Saturday, October 24, 2009

countdown 3 nov 09 (sebuah sajak peribadi)

aduhai rindu
tanpa menatap
rautmu jiwa
bergelora
menanti detik
bertemu.

datanglah
datang. bila
lagi. masa terasa
amat panjang.

aduhai rindu
walau tanpa
pernah muka
sua rindu
bergelora.

datanglah
datang. aku
menanti

25 okt
094.15am

Wednesday, October 21, 2009

tentang mimpi (igau dan racau) seorang anak dalam lena ayahnya

ayahku, tadi malam aku bermimpi
tentang kelibat gagah satu gergasi
dengan tujuh mata
dan seribu senjata
melangkah mendepani ribut
antarabangsa dan gelora sedunia.
ayah, adapun gergasi itu
bukanlah musuh kita
kerana aku dan kitalah
ibu bapanya;
aku dan kitalah
pensenyawanya. selepas kita
setubuhkan idea, kebijakan
dan wawasan dalam
khalwat kamar mesyuarat,
rumah rehat
serta di balik pintu
bilik taipan konglomerat

bahawasanya, ayah,
gergasi itu amat ajaib
adanya. getar dan garau
bunyi suaranya
dapat kita harapkan
menjadi pembela
agama, bangsa dan negara
tercinta. mudah-mudahan, tanah
ini tidak mampu dijajah lagi
oleh musuh dan pendengki
(dan sementara itu
kita runtuhkan pondok, bangsal
dan jamban buruk untuk
membina jambatan
dan tambak di selatan)

di pundak gergasi itu
ayah kulihat bersemayam
sambil meriba kitab
mendendangkan syair sufi
mendengarkan suara hati
sedang aku melafazkan
kata-kata istikharah dari
alir limbah

ayah, asyik benar
tadi malam aku bermimpi
tentang kelibat gergasi
menjaga ladang, bendang,
bukit dan pandang
mengawal laut, ikan,
kata dan pukat
menapis (khabar) angin,
nafas dan langit
dan aku - ya, aku -mengawalnya
dari atas katil tidurku

* sajak ini akan dapat difahami jika dikaitkan dengan cadangan penggabungan syarikat utusan melayu (m) sdn bhd dengan the new straits times press satu ketika dulu.

Sunday, October 18, 2009

senaskhah tonil usang, seorang jegela melayu

dalam dingin
hawa dewan
perdana mereka
melonjak kata
dan semangat
memacu azam
membunuh rasuah.
si pelahap neraka
datang menayang
arang terconteng
di mukanya
dan berkata:

- akulah sang juara!

Monday, October 12, 2009

belasungkawa

angin awan lumpur tanah lapis bawah
daun ranting burung kafan keranda
tetap berbicara. tapi entah apa
(atau bagaimana)
anak-anak
dan isteri-isteri
meratapi
tetap selamatlah
dalam perjalananmu
bersama iktikad melekat
di hati sampai mati
mudah-mudahan
.

Saturday, October 10, 2009

peluit di tengah padang

segar pagi dibelah
peluit kereta api*
meraikan siang. hari itu adalah hari
seperti hari-hari
terdahulu. dengan sibuk
dengan riangtuah ranah minang.

tenang petang tiba-tiba dibelah
gegar bumi goyang alam
meraikan takdir.hari itu adalah hari
luar biasa. cemas meruap
ke langit resah mengakar
ke perut. maut bergentayangan
di mana-mana.

aduhai
ranah minang meniup
peluitnya sendiri
menghulur salam menyapa
rasa naluri insan.

pagi ini
segar pagi bergenang
dengan air duka
kereta api tidak
lagi berbakti. peluit
pun mati meraikan siang
meraikan malang.


6 Oktober 2009

* di padang, sebuah kereta api berulang-alik di antara pusat bandar padang dengan padang panjang/padang pariman yang terletak agak jauh di antara satu sama lain. uniknya, kereta api ini - mengikut babad seorang pemandu pelancong - hanya beroperasi sekali sehari. pada waktu pagi, kalau tak silap.