Monday, December 28, 2009

mivtza oferet yetzuka

catatan satu - 11:30am, 27 disember 2008
selamat datang
mivtza oferet yetzuka
selamat datang 88
burung besi menabur
benih mati. bersama ikrar
kelangsungan jahat
jajah takluk dan bangsat
bangsa 100 titik
berkecai dalam hitungan
220 detik.

dari hamparan langit tangis
ghazzah diselimut kabut takdir
nafas tak lagi pada udara
mati menggigit dari kulit
tembus ke dasar jantung

catatan dua - 6 januari 2009, sekolah al-fakhura
dari beit lahiya sang serigala
mengatur helah. zikir mati
mereka rupa-rupanya
tidak pernah lelah
memburu batang-batang
tubuh tebal harap. di balik
dinding dan atap genting
cahaya maut berselerak
membenahi waktu
yang seakan terhenti.

angin tiba-tiba mati
dan si ibu meraung nanar
derita tetap setia menyentuh

catatan tiga - 29 disember 2009
kita terlupakan
derita mereka
di celah-celah
megah ghairah menunggu
meriahnya lantunan
suara nyanyi dan
lontaran bunga api
meraikan kedatangan
detik mati.

bangsar

Sunday, December 27, 2009

bertanya kepada anual bakri

petaka apa agaknya
yang dikirim kuasa
dari petala dunia?
hujan jadi api
dan bunga tiba2 mati.
damai tak lagi rancak
bersajak di darul nikmat
dan tengkujuh
mengirim ribut
menerjah dari
segenap arah

akankah
putus tali
doa yang bersambung
bertahun2?

bangsar

Thursday, December 24, 2009

mencari berkah, kau menadah ghairah lagi

dan seperti
mata angin
yang dipanggang
matahari seharian
kau datang
membawa tagih.

di sebalik
selirat uratku
kauhunjam racun
juga tari asyik
berkurun.

bulan di dada
pun retak
mencari arah.

Tuesday, December 22, 2009

rekod

selepas menara kembar
tertinggi di dunia, lemang
terpanjang di alam buana

mari kila lakar
nama bangsa
pada ghaib enjin
jet tentera

Monday, December 7, 2009

achatina fulica, hujan, bangunan usang & landasan lrt

achatina fulica, hujan, bangunan usang & landasan lrt


tembang malam bersenandung
melatari babad hujan di tengah
raya kota. sinar lampu dari tiang
berkarat - di bawahnya mereka berbisik
tentang rumput
tentang mimpi
tentang sakit
dan ghairah

di lintasan
berbelang aspal
kutemui genangan
air mata

pada lumut dinding
dan retak simen
tersorok lara seusia

heret roda besi
di rel el ar ti
menyiat dinding dingin
tengah malam. mereka
berganding tangan
mencari makna hangat
(dan mendakap laknat)


nasi kandar yaseen
jalan tar

Wednesday, December 2, 2009

politburo resah

malam dingin hujan menikam
bumi telanjang. kita terkapar
menanti ampun dalam buru
nafas dibirai mistisisme.

di panti sepi seorang lelaki
patah pilar kejantanannya.
puas diempang sebak pada
dada tapal peribadi tapi
pecah juga ia. terburai
menerjah sabar. tersebar
di serata maya. nanar.

"empanglah resah hati
biar deburnya
tak menjadi,"bisik jiwa.

diam.
beku.

di antara baris-baris kata
dan nafas kita yang bersatu
kuhempaskan lelah dan rindu
dendam dan marah
di pusar dadamu
biar ia kejap
menghimpit nafas
saat kau melintasi
mimpi gelora paling liar.

"nah, kini kau
tahu makna pilu
pada bungkam sunyi
dan dengusan
ammarah adalah
nikmat tak terceritakan."
- bumi menyergah.

bangsar