Wednesday, October 21, 2009

tentang mimpi (igau dan racau) seorang anak dalam lena ayahnya

ayahku, tadi malam aku bermimpi
tentang kelibat gagah satu gergasi
dengan tujuh mata
dan seribu senjata
melangkah mendepani ribut
antarabangsa dan gelora sedunia.
ayah, adapun gergasi itu
bukanlah musuh kita
kerana aku dan kitalah
ibu bapanya;
aku dan kitalah
pensenyawanya. selepas kita
setubuhkan idea, kebijakan
dan wawasan dalam
khalwat kamar mesyuarat,
rumah rehat
serta di balik pintu
bilik taipan konglomerat

bahawasanya, ayah,
gergasi itu amat ajaib
adanya. getar dan garau
bunyi suaranya
dapat kita harapkan
menjadi pembela
agama, bangsa dan negara
tercinta. mudah-mudahan, tanah
ini tidak mampu dijajah lagi
oleh musuh dan pendengki
(dan sementara itu
kita runtuhkan pondok, bangsal
dan jamban buruk untuk
membina jambatan
dan tambak di selatan)

di pundak gergasi itu
ayah kulihat bersemayam
sambil meriba kitab
mendendangkan syair sufi
mendengarkan suara hati
sedang aku melafazkan
kata-kata istikharah dari
alir limbah

ayah, asyik benar
tadi malam aku bermimpi
tentang kelibat gergasi
menjaga ladang, bendang,
bukit dan pandang
mengawal laut, ikan,
kata dan pukat
menapis (khabar) angin,
nafas dan langit
dan aku - ya, aku -mengawalnya
dari atas katil tidurku

* sajak ini akan dapat difahami jika dikaitkan dengan cadangan penggabungan syarikat utusan melayu (m) sdn bhd dengan the new straits times press satu ketika dulu.

No comments:

Post a Comment