Wednesday, November 10, 2010

sajak retro metro

pokok yang jenuh kita
baja dulu kini rimbun dengan
buah yang ranum. lebat berdaun
dan tanpa henti bunganya.

biarlah kemarau membakar
atau tengkujuh menyimbah,
pokok ini kekal berahi
berbuah. barangkali kerana
jenuh berbaja dulu.
barangkali kerana tanahnya
makin subur. barangkali
kerana lebah semakin
ghairah melihat madu
di celahan bunga.

barangkali.

pokok subur ini
pernah jenuh diterjah angin
empat penjuru bumi
tanpa pernah ia mahu mengalah.
akarnya semakin mencengkam
ke perut bumi dan pucuknya
saling berlumba menikam perut angin.
pun tak pernah ia mahu
tersungkur. semakin kekar
semakin agam, malah

dan kita sama2
menumpang teduh di bawah redupnya.
itu sesudah kami mengharung
selut dan belukar tebal.
itu sesudah kami menghalau
ulat2 perosak.
itu sesudah kami
menongkah ribut

dalam kedewasaan
mudah2-an janganlah
pokok subur ini diracun
dengan anai2 khayal
hanya semata2 kerana
buahnya semakin lebat
dan ranum

Sunday, August 29, 2010

tamak

barangkali kerana
terlalu leka melahap
butir2 pasir di lantai lori
hantu dulu maka kita
menyangka kebaikan dan
pahala adalah sama
seperti butir2 pasir itu juga.

barangkali kerana
terlalu asyik mahsyuk
bercinta dengan harta
maka kita menyangka
kebaikan dan pahala
itu mesti dimiliki seorang-seorang

kerana terlalu tamak
harta maka kita menyangka
pahala juga akan susut
jika dilakukan orang
selain kita

dan kita rela menyorok
kebenaran di celah
paha yang berkudis.

Tuesday, August 24, 2010

kerana bukan batang hidung kamu

semalam

datang seorang kawan

membawa perkhabaran

tentang purnama dan terangnya

bulan.


kata dia, terima

saja seadanya cerah

pada tanah dan mesranya

purnama


kerana

katanya, itu adalah kita.

katanya, cahaya melimpah

di mana2 dan ia sudah

banyak jasa


tanpa perlu menghitung derita

(kerana dia sendiri sudah lama

bersenang-lenang dengan cerahnya

bulan) dia lupa di bawah pokok2 sana,

di celah2 ranting dan dahan cemara,

ramai masih gelita

kerana nasib mereka

tidaklah sebertuah

dia.


Saturday, January 9, 2010

Allah!

setelah urat hayatmu
semakin sempit
dan nafas menipis,
baru kamu tahu
erti Allah dan melagukannya
dalam hadas yang besar.