Tuesday, January 13, 2015

Luka di langit Hrabove





Syawal kali ini sayunya terasa amat.
Tajam terus jauh menikam
ke dalam. 

Tidak seperti Syawal biasa
kegirangan kali ini sekadar tergantung
di ranting-ranting pepohon
atau jeriji tingkap, pintu. Desah angin pilu
berulang-ulang bertandang
membawa tanya amat panjang. 

Di ruang tamu
ada ibu merawat lara dan rindu.
Ada ayah memujuk resah nan parah.
Ada anak mendongak ke langit
menunnggu jawapan.
Ada isteri mendakap
hilang dalam tangis.

Kilat itu memang luar biasa
menyambarnya tiba-tiba
menyentap rawan semua.

Awan berserakan - antara memberi
dan menyembunyi jawapan.
Angin meniup titip pesan: Bencana ini
bukan bencana biasa.
Ini bencana buatan tangan-tangan
liar manusia nanar.
Rumput, bunga dan lalang
berbisik kepada aspal : "Kita ini sebenarnya
saksi hati durjana."

Luka tiga-tujuh-kosong masih bernanah
kini belati baru menoreh amarah.
Satu-tujuh adalah bidak catur
malang terpilih. Terkepit di antara
perseteruan gajah-gajah serakah
menyentap menjarah takzim anak, isteri,
ayah, ibu , abang, kakak yang tidak sabar
meraikan pertemuan. 

Dingin Schiphol
dan alir Sungai Mius
pun mengirim duka kepada seluruh kita.

Dunia memang semakin sukar bersahabat.
Cinta kian tertunda
dan di sini kita pun memesrai Syawal
dengan pilu tak tertanggung
dan keruh kilan langka yang menggunung.

Hari ini biarkan sepi melintas
ke seluruh jiwa.
Kita dengarkan bait-bait
bisik bayu Schiphol
menyapa mekar bunga-bunga di Hrabove
ketika ia menghantar pulang wangi ingatan
sambil kita mendakap persaudaraan.

Al-Abror Mohd Yusuf
Kuala Lumpur
Jumaat - 22 Ogos 2014

Tuesday, January 6, 2015

dan kita





jika diberi pilihan kita tidak
perlukan kenangan. utk apa
menempa besi kursani
untuk nanti menikam hati
dan kita menggelepar
menanti mati?

angka2 duka



dua-kosong-satu-empat
adalah sajak2 luka
dua-kosong-satu-lima
adalah puisi2 harap dan tanda tanya


kerana ini bukan yang terburuk




air telah kering
keringat meruap
dan tangis berbaki 
hanya di hati

lumpur yang tertinggal 
di ruang tamu rumah
mengingatkan kami 
kepada serakah orang siasah
menarah tanah
dengan zikir dan munajat
atau dengan senyum
murah membeli maruah

yang berlalu adalah cerita
yang tertinggal ialah derita

Thursday, December 11, 2014

heinous



dalam kelam
matanya dipejam
supaya dapat dia
memeta malam
dan mencari
titik2 duka silam
sebelum lagi tersesat
dalam kelam

Monday, December 1, 2014

hiatus




pada ketika tertentu
puisi paling bererti
ialah gumpalan aksara2 
yg tak pernah
kau atur menjadi 
bunyi dan makna

- 1 dis 2014

Monday, November 24, 2014

kau


 

tiba-tiba pintuku diketuk
angin. dan malam 

tersenyum panjang.
saat kolam matamu kutenung
dan jemari kuhulur

meramahi bibirmu
kau menjadi 

rama-rama